9 KESAN NEGATIF JIKA KAHWIN LARI/KAHWIN DI THAILAND – Mesti kita sering dengar perkataan kahwin lari kan? Orang yang selalu melakukan perkara seperti ini adalah disebabkan mereka tidak direstui keluarga dan berhasrat untuk meneruskan hubungan. Khas untuk anda yang berhajat untuk kahwin lari dan perlu tahu apa akibatnya jika anda melakukan perkara seperti ini
PERKAHWINAN BOLEH JADI TIDAK SAH
Mungkin anda akan rasa bila bernikah di sana seperti “real” disebabkan ada tok kadi dan wali, tetapi kalau anda ingin tahu ramai juga dah tertipu dengan ejen. Tempat pernikahan adalah perkara utama yang perlu disahkan terlebih dahulu kerana hanya beberapa tempat sahaja yang diiktiraf.
ANAK TAK SAH TARAF
Kesan yang paling teruk apabila melakukan pernikahan di Sempadan Thai adalah anak. Anak yang akan dilahirkan tidak akan boleh ber “bin” atau “binti” nama bapanya disebabkan tiada sijil pernikahan. Jika ayah sudah tiada, akan jadi masalah dan hanya ada maklumat ibu sahaja. Tetapi jika ayahnya masih hidup dan belum buat pengesahan mungkin tak akan menjadi masalah besar.
SUSAH UNTUK BERCERAI DI MALAYSIA
Jangan kerana dengan CINTA anda menyakinkan satu hubungan itu akan berkekalan hingga ke akhirnya. Hati kita pasti akan diuji dan berbolak balik dengan pelbagai rintangan dan dugaan mendatang. Rumah tangga ini sifatnya ada pasang surut. Masa nak berkahwin pasti akan ada sesi pujuk rayu dengan ayat-ayat manis, tetapi selepas kahwin tidak mustahil akan berlaku perubahan 360 darjah dengan timbul isu seperti nafkah, kerja, penderaan, curang dan macam-macam lagi. Setelah itu, mula timbul perasaan tidak puas hati dan ingin menfailkan penceraian tetapi akan jadi masalah. Si Isteri perlu memilih antara dua, cerai di tempat pernikahan di Siam atau membuah pengesahan nikah terlebih dahulu di mahkamah dalam Malaysia dan baru boleh membuat permohonan cerai.
TIDAK BERTANGGUNGJAWAB
Setelah selesai pernikahan, itu bukan penentu si suami akan bertanggungjawab sepenuhnya seperti memberi nafkah dan giliran adil untuk berpoligami. Sedangkan yang di dalam Malaysia pun mempunyai masalah apatah lagi kalau yang bernikah di sempadan Thai. Jika si isteri ingin menuntut nafkah di mahkamah, perlu untuk membuat pengesahan nikah. Serta dengan hak untuk bermalam. Banyak wanita dah teraniaya dan ditipu oleh suami untuk menikah di Siam dan akan tinggalkan terus serta hilang begitu sahaja selepas berjaya melepaskan nafsu semata-mata.
ISTERI TANGGUNG NAFKAH ANAK
Apabila lahirnya anak tidak sah taraf, timbul isu bahawa ibu dan keluarga ibu tersebut akan menanggung segala nafkah anak tak sah taraf ini. Si bapa tidak akan bertanggungjawab untuk memberi nafkah kepada anak tidak sah taraf disebabkan bukan nasab kepada dirinya. Kalau si ibu ini ingin menuntut perintah nafkah anak di Malaysia ini, ibu tersebut mesti melalui proses mengesahkan pernikahan, mengesahkan nasab dan barulah kepada tuntutan nafkah anak. Walaupun dari segi benih biologi (sperma) itu datang daripada lelaki tersebut (bapa), tapi dari segi hukum dan undang-undang ia tidak dikira sehinggalah disahkan oleh Mahkamah.
HAK SETELAH BERCERAI
Seperti kita tahu, setelah berlakunya perceraian mesti ramai wanita akan membuat tuntutan selepas perceraian seperti nafkah idah, mutaah, harta sepencarian dan hutang dalam perkahwinan. Selagi mana wanita tersebut tidak ada Sijil Perceraian yang sah, maka selagi itu beliau tidak boleh membuat tuntutan di mahkamah. Perceraian ini selalunya berlaku disebabkan mereka teraniaya kerana dipukul oleh suami, diambil duit dan melahirkan anak tak sah taraf setelah itu diceraikan. Malangnya, mereka tidak dapat menuntut hak. Tambahan pula harta sepencarian yang boleh melibatkan hartanah.
PUSAKA SUAMI
Jika suami itu telah meninggal dunia, mesti akan timbul isu untuk menuntut hak pusaka suami. Mungkin si suami sempat tinggalkan hartanya seperti wang di bank, kwsp, insurans, simpanan pelaburan, rumah, kereta dan sebagainya tetapi tidak boleh diperolehi sedangkan wanita itu isterinya. Disebabkan pernikahan tersebut tidak disahkan oleh mahkamah, maka si isteri memang tidak layak untuk menuntut pusaka tersebut. Dan pusaka ini hanya akan dapat kepada isteri pertama mahupun keluarga si mati.
MENGERUHKAN HUBUNGAN KELUARGA
Antara sebab kenapa digalakkan perkahwinan dalam Islam adalah untuk mengembangkan silaturahim sesama Muslim. Semakin jauh kaitan kekeluargaan, semakin baik perkahwinan tersebut. Tetapi tidak akan terjadi jika kahwin lari. Ianya tidak akan mengembang malah akan jadi lebih menguncup dan membuat permusuhan antara anak perempuan dan bapa apatah lagi kalau menantu. Keluarga kedua-duanya akan menyalahkan antara satu sama lain dan punca berlakunya pergaduhan.
KASIH SAYANG TIDAK RATA
Jangan pernah anda harapkan apabila dah berkahwin, kasih sayang yang anda dapat sama seperti bercinta dahulu. Bila bercinta sebelum kahwin, pasti banyak janji manis tetapi sebaliknya setelah berkahwin. Pasti tidak akan sama terutamanya apabila emosi tidak stabil.
Jangan disebabkan sayang pada seseorang, anda sanggup untuk melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan musibah pada diri sendiri. Namun, tidak dinafikan bahawa melepaskan orang yang kita sayang amat menyakitkan. Yakinlah bahawa sentiasa ada pelangi setelah hujan. Pasti hidup anda lebih baik selepas ini.